Wednesday, May 13, 2009

Anak Shikin

Aku tak tahu lah mengapa segala benda yang aku buat kebelakangan ini semuanya serba serbi tak kena. Tidur terlebih lena, makan cepat sangat kenyang, mandi sampai air terpercik-percik ke bilik.

Sehinggakan masak air pun sampai air hangus. Rupa-rupanya aku tak tutup cerek, sehingga buntut cerek bau hangus baru aku perasan. Tapi tidak mengapa, aku dah masak dengan perangai diri sendiri. Aku tidak pernah menghukum diri sendiri demi kesalahan-kesalahan yang tidak sengajakan itu.

Namun begitu, walaupun sudah 17 tahun hidup bersama umi ayah, mereka masih belum masak lagi dengan perangai aku. Jadi aku terpaksa melalui hari-hariku dengan tekanan untuk menjadi anak dara yang sempurna. Supaya aku tidak dimarahi untuk perkara-perkara kecil seperti masak air sampai hangus ataupun masak beras sampai lembik.

Tambahan lagi dengan bebelan, "Anak dara apa masak air sampai hangus?" Dan yang sewaktu dengannya. Setiap kali aku akan jawab, "Anak dara tak masak air sampai hangus, anak Shikin je," dalam hati la. Hehe.

Lalu, apabila umi aku memberi kepercayaan untuk menangani tugas menggunting jadual, aku pun menggunting dengan bersungguh-sungguh untuk menunjukkan kepada umi aku betapa boleh diharapnya aku. Aku tahu, kalau aku buat cincai-cincai mesti umi kata, "Anak dara apa macam ni?".

Aku pun berpeluh-peluh berbusuk-masam selama 120 minit tanpa kipas (kerana takut kipas akan menerbangkan jadual yang aku sedang guntingkan). Ke hulu ke hilir umi lalu lalang, terlihat aku menggunting dengan penuh bersungguh-sungguh. "Pasti umi punya hidung sedang kembang," bisik hatiku.

Tengkok aku juga semakin sengal apabila di bengkok 90 darjah bagi mendapatkan hasil guntingan yang kemas lagi cermat. Daging bisep dan trisep aku juga semakin letih terasa bagaikan sedang mengangkat dumbell berat 20kg.

Akhirnya, setelah beratus-ratus minit lamanya masa diluangkan untuk menggunting jadual hampir sampai ke penghujungnya. Aku sempat tersenyum di dalam keluhan kesah penat menggunting itu.

Tiba-tiba, umi aku lalu lagi. Tetapi kali ini dia berhenti dan memerhatikan cara aku gunting jadual tersebut.

Hidung aku pula sedang kembang kempis menunggu untuk di puji. Tiba-tiba,

"Laaaa, patut la lama sangat. Gunting terkebil-kebil macam mak nenek. Gunting la macam anak dara, anak dara gunting cincai-cincai."

Mungkin umi aku pernah mengambil kos anak dara-ology.

4 comments:

Komen dengan cermat, ingatlah orang yang tersayang