Friday, September 18, 2009

Bulan Makanan

Bulan Ramadhan bulan makanan. Hilang sahaja matahari, bertempias jingga memanggil bulan, telingaku dijamah azan. Aku belum kenyang lagi. Jamukan lagi aku makanan.

Jamahan telinga pun datang berjalan. Merintasi segala halangan. Mengetuk gegendang telinga setiap insan. Bergema Allahu akbar. Kenyanglah telinga malam ini.

Kalau nanti matahari kembali, hati aku dimamah mentari. Aku harus bertanding dengan matahari. Berunding dengan hati. Meminta dari Ilahi. Kalau nanti aku habis bermimpi, dikejut oleh hati, dapat pula menjamah rohani.

Kemudian hendak pula aku menjamah mata. Menyuap dari tulisan di atas kertas. Tulisan yang enak-enak, jatuh dari syurga ketujuh. Sedap dijamu mata aku terus dihadam oleh kalbu.

Mulut aku pula menyuap kata kata ke telinga. Ayat-ayat suci berlegar-legar memenuhi ruang setiap penjuru hinggakan otak aku bergegar. Moga-moga kenyanglah segala telinga yang mendangar.

Kalaulah sebegini aku menjamah rohani setiap hari, mungkin sistem pertahanan badan boleh bertambah. Membina benteng dari segala serangan makhluk luar yang ingin berkandas.

Selamat tinggal Ramadhan, semoga berjumpa lagi di tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan cermat, ingatlah orang yang tersayang